Mar 13, 2026 7PM
Sultan Pahang gesa PKS manfaatkan sijil halal untuk perluas pasaran
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar memanfaatkan peluang mendapatkan pensijilan halal bagi meningkatkan kepercayaan pengguna di samping mengembangkan pasaran perniagaan mereka.
Baginda menegaskan pensijilan halal bukanlah satu beban, sebaliknya ia merupakan pelaburan jangka panjang yang memastikan kualiti dan integriti produk serta membuka peluang pasaran yang lebih luas di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
“Inisiatif mempercepat proses kelulusan pensijilan halal yang kini dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira 30 hari berbanding 90 hari sebelum ini merupakan langkah positif dalam memudahkan permohonan serta memperkasakan industri halal di negeri ini,” titah baginda melalui hantaran di Facebook Kesultanan Pahang.
Hantaran itu menyebut bahawa baginda bertitah sewaktu berangkat untuk memasyhurkan Masjid Kampung Simpang Tebing Tinggi sebagai Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kampung Simpang Tebing Tinggi, Jerantut, semalam.
Sultan Pahang bertitah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sentiasa bersedia memberikan panduan kepada peniaga yang berminat untuk mendapatkan pensijilan halal.
Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah bertitah umat Islam perlu sentiasa memelihara batas halal dan haram dalam setiap aspek kehidupan bagi memastikan keberkatan dan kesejahteraan masyarakat.

Sultan Pahang menegaskan pensijilan halal bukanlah satu beban, sebaliknya ia merupakan pelaburan jangka panjang
Paduka Baginda menekankan bahawa konsep halal bukan hanya terhad kepada makanan, tetapi telah menjadi satu ekosistem kehidupan yang merangkumi pelbagai sektor seperti perniagaan, kewangan, perubatan, logistik, serta gaya hidup manusia secara keseluruhan.
“Halal bukan sekadar logo atau cap pada produk. Ia berkait rapat dengan amanah, integriti dan keberkatan dalam kehidupan,” titah baginda.
Sementara itu, Sultan Pahang turut menyeru peniaga, pengilang, pengusaha restoran, dan semua pihak dalam rantaian industri halal agar memelihara amanah dengan penuh tanggungjawab serta tidak mempermainkan sensitiviti umat Islam.
Baginda turut berharap agar pihak berkuasa berkaitan terus memperkukuh penguatkuasaan terhadap sebarang pelanggaran dalam sistem pensijilan halal dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba memanipulasi sistem demi kepentingan peribadi.
“Sesungguhnya, menjaga halal dan haram bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa semata-mata, tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh umat Islam.
“Jika umat islam sendiri tidak mengambil berat soal halal dan haram dalam kehidupan mereka, maka sedikit demi sedikit kita akan kehilangan benteng yang selama ini menjadi asas kekuatan masyarakat Islam.
“Jika perkara halal dijaga, maka masyarakat akan hidup dalam keberkatan. Namun, jika perkara halal dipermainkan, maka kerosakan akan meresap sedikit demi sedikit dalam kehidupan kita.
“Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi maka robohlah rumah. Begitulah juga masyarakat, jika sendi halal dan haram tidak lagi dipelihara, maka runtuhlah asas kehidupan yang diberkati’,” titah Paduka Baginda.
Waktu Solat


14 Mar 2026
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
06:03
















